Peranan Pelbagai Pihak dalam mempopularkan Permainan Tradisional

Huraikan pendapat anda tentang peranan pelbagai pihak dalam mempopularkan permainan tradisional.  Panjangnya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.



Peranan Pelbagai Pihak dalam mempopularkan Permainan Tradisional


1  Peranan  Sekolah
2  Peranan  Ibu Bapa
3  Peranan  Media Massa
4  Peranan  Kerajaan

Permainan tradisional semakin dilupakan pada masa sekarang.  Kebelakangan ini, saranan untuk mempopularkan permainan tradisinal kerap kedengaran.  Pelbagai pihak disarankan supaya memainkan  peranannya dalam mempopularkan permainan tradisional.
Antara pihak tersebut ialah sekolah.  Pihak sekolah boleh mengadakan kegiatan kokurikulum yang berkaitan dengan permainan tradisional.  Sebagai contohnya,  pihak sekolah boleh menubuhkan kelab permainan tradisional seperti kelab congkak dan kelab gasing.  Penganjuran congkak dan gasing boleh diadakan untuk menarik minat pelajar.  Cara ini bertujuan untuk memperkenalkan permainan tradisional kepada pelajar-pelajar.
Selain itu,  peranan ibu bapa juga penting untuk mempopularkan permainan tradisional kepada anak-anak mereka sejak kecil lagi.  Sebagai contohnya, ibu bapa boleh meluangkan masa untuk bermain congkak dengan anak-anak mereka.  Ibu bapa juga boleh menggalakkan anak-anak mereka bermain gasing dan layang-layang.
Di samping itu,  media massa perlu menghebahkan kelebihan permainan tradisional kepada masyarakat.  Hebahan boleh dilakukan melalui surat khabar, televisyen, majalah dan Internet. Sebagai contoh,  TV3, melalui program Jom Heboh, boleh mengadakan pertandingan permainan tradisinal seperti gasing, congkak dan wau.  Dengan cara ini, permainan tradisional dapat diperkenalkan kepada masyarakat,  khususnya generasi muda.
Seterusnya, pihak kerajaan juga perlu memainkan peranan.  Kementerian Penerangan,  komunikasi, dan Kebudayaan hendaklah mengadakan pesta permainan tradisional pada setiap tahun.  Sebagai contohnya,  Festival Layang-layang di Pasir Gudang, Johor bukan sahaja disertai oleh rakyat tempatan malahan masyarakat antarabangsa.
Kesimpulannya, usaha untuk memupuk dan memelihara permainan tradisional tidak harus dipandang enteng.  Jika tidak,  permainan tradisional mungkin hanya dapat ditonton di muzium oleh generasi yang akan datang.

(  242 patah perkataan)

Contoh Karangan : Langkah – langkah untuk mencegah Deman Denggi

Lihat meja di bawah ini dengan teliti.  Huraikan pendapat anda tentang langkah-langkah yang dapat kita ambil untuk mencegah deman denggi.  Panjangnya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.


Langkah – langkah untuk mencegah Deman Denggi
1 Memusnahkan tempat pembaikan nyamuk
2 Melindungi diri daripada gigitan nyamuk
3 Menghapuskan nyamuk dewasa


Langkah – langkah untuk mencegah Deman Denggi


Deman denggi adalah sejenis penyakit berbahaya yang disebabkan oleh nyamuk Aedes betina yang membawa virus Denggi. Ia merebak melalui gigitan nyamuk. Penyakit ini sangat berbahaya kerana ia boleh mengakibatkan seseorang menjadi sakit tenat atau maut. Pesakit akan mengalami tanda-tanda dan gejala selepas lima atau enam hari gigitan nyamuk seperti demam panas, sakit kepala, sakit tulang belakang, sakit sendi-sendi, loya dan muntah-muntah, sakit biji mata dan ruam. Biasanya, pesakit harus dimasuki hospital untuk rawatan  sehingga sembuh. Oleh itu, kita haruslah mengambil langkah-langkah untuk mencegah demam denggi.
Cara mencegah denggi yang utama adalah menghapuskan atau mengurangkan vektor nyamuk pembawa denggi.  Antara langkahnya ialah memusnahkan tempat pembiakan nyamuk.  Barang buangan seperti tayar buruk, tin kosong, tempurung kelapa dan bekas plastik yang menjadi tempat pembiakan nyamuk hendaklah dimusnahkan.  Pasu bunga, bekas air dan sebarang bekas yang boleh menakung air perlu dibubuh ubat jentik-jentik atau ditukar airnya dengan kerap untuk mencegah pembiakan nyamuk Aedes. Membela ikan di dalam kolam ikan dapat juga mengurangkan pembiakan jentik-jentik. Pastikan tangki air, bekas tadahan hujan sentiasa ditutup atau ditukar airnya.
Selain itu, kita hendaklah mengambil tindakan yang wajar untuk melindungi diri daripada gigitan nyamuk.  Nyamuk biasanya keluar pada awal pagi atau lewat petang.  Oleh itu, pakailah pakaian yang menutupi kebanyakan bahagian tubuh apabila berada di luar rumah pada waktu itu. Selain itu, kita boleh menyapukan krim penghindar nyamuk pada bahagian tubuh yang terdedah.
Di samping itu, kita boleh memasang jaring nyamuk pada tingkap rumah.  Jaring ini dapat menghalang nyamuk daripada memasuki rumah.  Di dalam rumah pula, gunakan ubat lingkaran nyamuk atau ubat nyamuk elektrik untuk mengelak daripada digigit nyamuk pada waktu malam.
Seterusnya, kita hendaklah menghapuskan nyamuk dewasa.  Kita boleh menggunakan penyembur nyamuk bagi membunuh nyamuk dewasa di dalam rumah.  Di luar rumah pula, kita harus kerap meminta pihak berkuasa untuk mengadakan semburan kabus untuk membunuh nyamuk.
                Kesimpulannya, usaha untuk mencegah demam denggi tidak harus diletakkan pada bahu pihak berkuasa sahaja.  Semua anggota masyarakat hendaklah bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menangani masalah ini.


(324 patah perkataa)