Peranan Pelbagai Pihak dalam mempopularkan Permainan Tradisional

Huraikan pendapat anda tentang peranan pelbagai pihak dalam mempopularkan permainan tradisional.  Panjangnya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.



Peranan Pelbagai Pihak dalam mempopularkan Permainan Tradisional


1  Peranan  Sekolah
2  Peranan  Ibu Bapa
3  Peranan  Media Massa
4  Peranan  Kerajaan

Permainan tradisional semakin dilupakan pada masa sekarang.  Kebelakangan ini, saranan untuk mempopularkan permainan tradisinal kerap kedengaran.  Pelbagai pihak disarankan supaya memainkan  peranannya dalam mempopularkan permainan tradisional.
Antara pihak tersebut ialah sekolah.  Pihak sekolah boleh mengadakan kegiatan kokurikulum yang berkaitan dengan permainan tradisional.  Sebagai contohnya,  pihak sekolah boleh menubuhkan kelab permainan tradisional seperti kelab congkak dan kelab gasing.  Penganjuran congkak dan gasing boleh diadakan untuk menarik minat pelajar.  Cara ini bertujuan untuk memperkenalkan permainan tradisional kepada pelajar-pelajar.
Selain itu,  peranan ibu bapa juga penting untuk mempopularkan permainan tradisional kepada anak-anak mereka sejak kecil lagi.  Sebagai contohnya, ibu bapa boleh meluangkan masa untuk bermain congkak dengan anak-anak mereka.  Ibu bapa juga boleh menggalakkan anak-anak mereka bermain gasing dan layang-layang.
Di samping itu,  media massa perlu menghebahkan kelebihan permainan tradisional kepada masyarakat.  Hebahan boleh dilakukan melalui surat khabar, televisyen, majalah dan Internet. Sebagai contoh,  TV3, melalui program Jom Heboh, boleh mengadakan pertandingan permainan tradisinal seperti gasing, congkak dan wau.  Dengan cara ini, permainan tradisional dapat diperkenalkan kepada masyarakat,  khususnya generasi muda.
Seterusnya, pihak kerajaan juga perlu memainkan peranan.  Kementerian Penerangan,  komunikasi, dan Kebudayaan hendaklah mengadakan pesta permainan tradisional pada setiap tahun.  Sebagai contohnya,  Festival Layang-layang di Pasir Gudang, Johor bukan sahaja disertai oleh rakyat tempatan malahan masyarakat antarabangsa.
Kesimpulannya, usaha untuk memupuk dan memelihara permainan tradisional tidak harus dipandang enteng.  Jika tidak,  permainan tradisional mungkin hanya dapat ditonton di muzium oleh generasi yang akan datang.

(  242 patah perkataan)

1 ulasan: