Kesan-kesan Negatif Iklan

Model karangan 


Huraikan pendapat anda tentang kesan-kesan negatif iklan.  Panjangnya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.
           

 Kesan-kesan Negatif Iklan


1  menimbulkan sikap boros
2  menyebabkan pembaziran wang
3  menggalakkan tabiat yang buruk
4  memperdayakan pengguna


            Dalam  perniagaan, iklan memainkan peranan yang amat penting.  Melalui iklan,  sesebuah perniagaan memperoleh faedah yang banyak.  Namun demikian, iklan juga mempunyai kesan negatifnya.

            Antara kesan negatif iklan ialah menimbulkan sikap boros dalam pengguna.  Banyak pengguna membeli sesuatu barang atau menggunakan sesuatu perkhidmatan kerana dipengaruhi oleh iklan.  Mereka membeli mengikut naluri dna bukan mengikut keperluan.  Akibatnya, mereka boros ketika berbelanja , kadang-kadang berbelanja lebih daripada kemampuan mereka.

            Selain itu, iklan juga menyebabkan pembaziran wang .  Hal ini demikian kerana iklan dapat mempengaruhi pengguna untuk membeli sesuatu barang atau perkhidmatan yang tidak diperlukannya.  Sebagai contohnya,  seorang suri rumah akan membeli sesuatu barang atau peralatan dapur yang cnaggih kerana terpengaruh oelh iklan peralatan itu.  Selepas membeli barang itu,  dia mendapati bahawa peralatan tersebut tidak banyak bezanya daripada peralatan sedia ada yang dimilikinya.  Oleh itu, dia telah membazirkan wang untuk membeli sesuatu yang tidak diperlukannya.

            Di samping itu,  ilan juga menggalakkan tabiat yang buruk.  Iklan rokok dan arak dapat mempengaruhi orang untuk menghisapo rokok dan minuman arak.  Iklan makanan segera dan makanan rapuh pula menggalakkaan orang untukl makan makanan tersebut yang sememangnya tidak berkhasiat.

            Seterusnya,  iklan juga memperdayakan pengguna.  Sesetengah iklan mengandungi maklumat yang tidak benar tentang sesuatu barangan atau perkhidmatan.  Kelebihan sesuatu barangan atau perkhidmatan itu sengaja dilebih-lebihkan atau diada-adakan,  Pengguna hanya akan mengetahui bahawa mereka terpedaya setelah menggunakan barangan atau perkhidmatan itu.

            Kesimpulannya,  iklan memang banyak membantu sesebuah syarikat melariskan jualan barang atau perkhidmatannya.  Kita , sebagai pengguna , perlulah bijak menilai dan tidak membeli barang atau perkhidmatan berdasarakan iklan semata-mata.



                                                            (  245 patah perkataan)

1 ulasan: