Sebab-sebab Semangat kejiranan semakin luput dalam kalangan masyarakat bandar

Model karangan 


Huraikan pendapat anda tentang sebab-sebab semangat kejiranan semakin luput dalam kalangan masyarakat bandar.  Panjangnya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.

Sebab-sebab Semangat kejiranan semakin luput dalam kalangan masyarakat bandar


1  Persaingan hidup yang sengit
2  Sikap materialistik
3  Corak kediaman bandar yang berpagar
4  Perkembangan teknologi merenggangkan hubungan


            Pada masa sekarang,  semangat kejiranan semakin luput, terutama dalam kalangan masyarakat bandar.  Jiran sebelah-menyebelah tidak saling mengenali.  Terdapat beberapa sebab yang menyebabkan keadaan sedemikian.

             Satu sebab ialah persaingan hidup yang sengit.  Anggota masyarakat sibuk dengan kerja dan urusan masing-masing.  Semakin banyak  suami isteri yang berkerjaya.  Mereka yang berniaga pula hanya pulang ke rumah pada lewat petang.  Oleh itu,  masa terluang amat terhad.  Hal ini mengakibatkan semangat kejiranan semakin merosot.

            Selain itu , sikap materialistik yang timbul ekoran persaingan hidup juga menjejaskan semangat kejiranan.  Kini , sikap hendak menandingi orang lain dari segi kekayaan kebendaan semakin menebal.  Mencari wang menjadi matlamat kebanyakan orang.  Mereka menjalankan perniagaan sambilan selepas waktu kerja.  Oleh itu,  mereka tidak mempunyai masa untuk bertegur sapa dengan jiran tetangga.

            Di samping itu,  perkembangan teknologi juga merenggangkan hubungan kejiranan.  Seisi keluarga dapat menikmati hiburan di rumah dengan menonton siaran televisyen atau menonton filem melalui DVD.  Mereka dapat bermain permainan komputer dan melayari internet.  Bagi mereka yang suka bersenam,  mereka dapat bersenam di rumah dengan menggunakan alat senaman.  Hal ini menyebabkan orang jarang-jarang keluar dari rumah.  Dengan itu,  interaksi antara jiran tetanggan semajin kurang.

            Seterusnya, corak tempat kediaman bandar juga menghalang pemupukan semangat kejiranan.  Kebanyakan rumah di bandar mempunyai pagar di sekeliling rumah.  Kebanyakan orang tidak mempedulikan hal yang berlaku di luar pagar rumah mereka.  Dengan itu, pagar itu bertindak sebagai tembok pemisah kepada pemupukan semangat kejiranan.

            Kesimpulannya, semangat kejiranan amat penting dalam memupuk perpaduan dan persefahaman dalam kalangan masyarakat.  Kemesaraan dan keramahan antara jiran tetangga haruslah diutamakan kerana jiran sepakat membawa berkat.



                                                            ( 250 patah perkataan)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan