Usaha Pelbagai Pihak Untuk Menanam Sikap Menabung di Kalangan Pelajar

Model karangan


Lihat pernyataan di bawah ini dengan teliti.  Huraikan pendapat anda tentang usaha pelbagai pihak untuk menanam sikap suka menabung di kalangan pelajar.  Panjangnya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.


Usaha Pelbagai Pihak Untuk Menanam Sikap Menabung di Kalangan Pelajar


Kepentingan menabung perlu ditanam dalam jiwa pelajar.  Kesedaran ini akan melahirkan masyarakat yang suka menabung demi masa hadapan.  Pelbagai pihak perlu berusaha untuk menanam sikap suka menabung dalam kalangan pelajar.

Ibu bapa memainkan peranan yang penting kerana usaha menanam sikap menabung dalam kalangan pelajar harus bermula di rumah.  Ibu bapa harus menggalakkan anak-anak mereka supaya menyimpan sebahagian daripada wang saku harian mereka.  Walaupun jumlah wang yang disimpan itu sedikit sahaja, hal ini dapat menanam bibit suka menabung dalam pelajar.  Pepatah yang berbunyi “sedikit-sedikit , lama-lama menjadi bukit” harus dijadikan pedoman oleh pelajar.

     Selain itu,  pihak sekolah juga memainkan peranan yang penting dalam memberikan penerangan kepada pelajar tentang faedah menabung.  Penerangan tersebut boleh dilakukan dalam hampir semua mata pelajaran.  Malahan, penerangan dapat dilakukan secara tidak langsung dalam kegiatan kokurikulum yang disertai pelajar.

Di samping itu,  pihak bank juga harus membantu kerajaan untuk menanam sikap menabung dalam kalangan pelajar.  Bank ialah tempat pelajar membuka akaun untuk menyimpan wang mereka.  Bank-bank dapat mengadakan skim tabungan khas untuk pelajar.  Malahan, bank dapat menaja penubuhan kelab tabungan di sekolah.

Seterusnya, peranan media massa juga penting.  Surat khabar dan majalah pelajar boleh menyiarkan rencana tentang faedah menabung.  Televisyen pula boleh menyiarkan program tentang menabung.  Dengan cara ini, pelajar akan terdedah kepada maklumat tentang faedah menabung dan terdorong untuk menabung.

Ringkasnya, usaha untuk menanam sikap menabung dalam kalangan pelajar perlu dilakukan oleh semua pihak.  Hal ini demikian kerana menabung bukan sahaja untuk kesejahteraan individu,  tetapi juga dapat membantu mengukuhkan ekonomi negara.


(  243 patah perkataan)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan