Contoh Karangan : Kemerosotan Disiplin Pelajar

Kemerosotan disiplin pelajar sejak akhir-akhir ini amat membimbangkan.  Banyak pihak berpendapat bahawa satu-satunya jalan penyelesaian adalah dengan mengembalikan hukuman rotan.  Bincangkan baik buruknya hukuman rotan.

                       
        Masalah disiplin pelajar sekolah menengah sering menjadi isu nasional yang hangat diperkatakan.   Umumnya,  masyarakat melahirkan rasa bimbang tentang kemungkinan masalah ini bertambah buruk sekiranya tiada langkah tegas diambil bagi membendungnya.  Pelbagai cadangan telah dikemukakan bagi menangani masalah ini.  Umumnya, orang ramai berpendapat  bahawa hukuman rotan patut diperkenalkan semula.  Namun demikian, banyak  tokoh pendidikan berpendapat sebaliknya.
          Sebenarnya, hukuman rotan mempunyai pro dan kontranya.  Ada pihak yang  mendakwa hukuman rotan tidak berkesan dalam membetulkan disiplin pelajar.  Mereka berpendapat sikap ibu bapa dan pelajar hari ini jauh berbeza daripada pelajar zaman lampau.  Dahulunya ibu bapa  menghantar anak ke sekolah dengan pesanan kepada gurunya agar merontanlah jika perlu selgai tindakan itu tidak mencederakan anak mereka.  Guru dilihat sebagai pendidik dan pembentuk sahsiah anak.
            Kini, segalanya telah berubah.  Ibu bapa hari ini cenderung  untuk campur tangan dalam urusan mendisiplinkan anak oleh guru.  Mereka memandang guru sebagai penyampai ilmu, dan tidak lebih daripada itu.  Guru-guru yang menjalankan hukuman rotan akan dimusnahi.  Ada kalanya guru akan diheret ke mahkamah jika ibu bapa tidak berpuas hati dengan cara guru mendisiplinkan anak mereka.
            Sesetengah ibu bapa menaruh syak wasangkan terhadap guru yang diberikan kuasa untuk merotan.  Mereka bimbang guru akan menyalahgunakan kuasa yang diberikan.  Telah timbul kontroversi tidak lam dahulu apabila kementerian Pendidikan bercadang untuk memberikan kuasa auksilari polis kepada guru disiplin dalam menangani masalah gangsterisme di sekolah.  Rata-rata ibu bapa berpendapat kemungkinan guru menyalahgunakan kuasa itu.  Akhirnya, cadangan itu berkubur dengan sendirinya.
            Secara peribadi, saya berpendapat cara hukuman rotan ini amat berkesan dalam menyelesaikan masalah disiplin pelajar.  Walaupun cara ini meninggalkan kesan mendalam seperti rasa malu,  benci dan memberontak, nmaun inilah cara terbaik untuk mengembalikan keadaan sesuai untuk tujuan pembelajaran dan pengajaran.  Umumnya cara nasihat dan bimbingan yang diamalkan tidak mendatangkan kesan seperti yang dihasratkan.  Biasanya pelajar yang keras kepala akan mengulangi kesalahannya walaupun ditegur beberapa kali.
            Hukuman rotan harus tidak mencederakan pelajar dan seorang guru lain harus hadir untuk menyaksikan hukuman itu dilaksanakan.  Pada pendapat saya, kuasa merotan wajar diberikan kepada guru disiplin sahaja.  Sekiranya dijalankan secara adil dan betul, banyak masalah disiplin yang merundung para guru akan lenyap.  Pelajar akan berfikir dua kali sebelum melakukan sebarang salah laku.  Cara ini membolehkan kita melihat kesannya dengan lebih cepat.
            Namun demikian, terdapat pihak yang berpendapat bahawa kaedah kaunseling lebih wajar digunakan untuk mendisiplinkan pelajar.  Menurut mereka,  setiap masalah mesti ada sebab musababnya.  Guru kaunseling dan pelajar akan sama-sama meneroka punca masalah untuk mencari penyelesian.
            Jika gagal juga, pihak sekolah akan menghubungi ibu bapa untuk sama-sama mencari punca seseorang pelajar berkelakuan sedemikian.  Pelajar bermasalah yang sukar untuk dipulihkan akan dinasihati agar memohon bertukar ke sekolah lain.  Tujuannya adalah untuk memberi suasana baharu serta menyuntuk kesedaran kepada pelajar berkenaan.  Melalui cara ini, diharapkan pelajar itu akan berubah demi kejayaan diri,  sungguhpun cara ini memerlukan masa yang lebih banyak.
            Secara tuntas, zaman telah berubah.  Para ibu bapa dan pelajar tidak sanggup lagi menerima hukuman rotan.  Oleh itu, guru harus menggunakan kaedah kaunseling untuk mendisiplinkan pelajar.

(510 perkataan)

Contoh Karangan : Graduan dari universiti yang tidak mendapat pekerjaan

Bilangan graduan dari universiti yang tidak mendapat pekerjaan semakin bertambah setiap tahun.  Untuk mengatasi masalah ini, kerajaan menggesa siswazah supaya menceburi bidang perniagaan daripada makan gaji.


           

Berikan pendapat anda tentang pernyataan tersebut.


            Setiap tahun beribu-ribu orang graduan keluar dari universiti.  Graduan baru ini akan mencari pekerjaan .  Akan tetapi, ramai graduan tidak akan mendapat pekerjaan kerana peluang pekerjaan  yang ada tidak mencukupi untuk menampung jumlah graduan itu. Ramai graduan mungkin terpaksa menganggur selama beberapa tahun sebelum mendapat pekerjaan.
            Pada pendapat saya, keinginan kuat untuk makan gaji ini berpunca daripada cara didikan anak.  Kebanyakan ibu bapa menyuruh anak-anak mereka belajar sampai ke peringkat university dan lulus dengan pangkat terbaik supaya dapat mendapat pekerjaan yang bergaji lumayan.  Pendapat kita jarang sekali menggalakkan anak-anak kita menceburi bidang perniagaan.  Hal ini demikian kerana menjalankan perniagaan memerlukan modal yang besar dan berdepan dengan risiko yang pelbagai.
            Namun demikian,  kadar pengangguran yang tinggi dalam kalangan graduan kini tidak lagi membenarkan pemikiran demikian.  Ibu bapa wajar menggalakkan anak-anak mereka yang berkelulusan ijazah atau diploma bekerja sendiri atau menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan.  Mungkin mereka akan gagal pada mulanya kerana tidak tahu mengurus  perniagaan.  Akan tetapi mereka masih muda dan mampu menghabiskan masa untuk mencuba nasib di samping menimba pengalaman.
            Sebenarnya, pengalaman amat penting dalam menjalankan perniagaan.  Pengalaman berniaga lebih baik ditimba dari awal lagi, iaitu sebaik-baik sahaja seseorang tamat pengajiannya di institusi pengajian tinggi.  Ramai usahawan yang berjaya tidak mendapat pendidikan formal sehingga ke peringkat university.  Kejayaan mereka dalam perniagaan adalah kerana pengalaman mereka dan keinginan untuk Berjaya.  Semangat ingin Berjaya inilah yang harus ditanam dalam hati nurani anak-anak muda kita.  Mereka tidak harus berpuas hati dengan menjadi akauatan atau pegawai tadbir sahaja.  Sebaliknya, mereka harus berusaha untuk menceburi bidang perniagaan dan menjadi usahawan yang Berjaya.
            Budaya menjadi usahawan sudah lama wujud dalam kaum Cina di Negara kita.  Orang Cina yang berniaga akan membawa anak –anak mereka ke kedai untuk membantu sambil belajar selok-belok perniagaan.  Dengan itu, anak-anak itu terdedah kepada dunia perniagaan sejak kecil lagi.  Pendedahan awal akan menjadi bekal yang baik kepada mereka untuk menceburi bidan perniagaan apabila mereka tamat pengajian tinggi.
            Saya berpendapat bahawa orientasi perniagaan harus dianjurkan agar dapat melahirkan usahawan yang lebih ramai di kalangan siswazah.  Hal ini dapat memberikan kerjaya alternative kepada siswazah yang tidak mendapat pekerjaan.  Peranan kerajaan amat penting dalam menggalakkan siswazah menceburi bdiang perniagaan.  Kerajaan harus menyediakan insentif bagi siswazah seperti menyediakan pinjaman perniagaan yang mudah melalui bank dan mengadakan kursus keusahawan intenstif.
            Sebagai kesimpulannya, usaha untuk menggalakkan siswazah menceburi bidang perniagaan memerlukan kerjasama daripada ibu bapa, institusi pengajian tinggi, dan kerajaan.  Yang penting sekali ialah para siswazah mesti sanggup mengubah persepsi tradisional mereka tentang kerjaya, iaitu daripada makan gaji kepada menjadi bos sendiri.

(445 patah perkataan)